Friday, December 24, 2010

GT Tukun Perak


Sumber : Joran

PULAU PINANG: Perancangan awal Geng Somtam Angler Team (SAT) untuk menggempur geropoh atau GT di Koh Adang, Thailand yang terpaksa dibatalkan pada saat akhir, tidak mengecewakan kumpulan pemancing dari utara ini untuk mengaturkan trip seterusnya.

PULAU PINANG: Perancangan awal Geng Somtam Angler Team (SAT) untuk menggempur geropoh atau GT di Koh Adang, Thailand yang terpaksa dibatalkan pada saat akhir, tidak mengecewakan kumpulan pemancing dari utara ini untuk mengaturkan trip seterusnya.

Selepas perbincangan, kumpulan yang dianggotai Yazid, Tajul, cikgu Man, Suhaimi, Man, Azhar, Asri, Mawazi dan Jalil Roti, bersetuju untuk ke Tukun Perak dengan harapan ada GT bersaiz XL bakal menjadi mangsa mereka.

Tepat jam 9 pagi, bot yang dipandu Tekong Ah Sia berlepas ke lubuk pilihan itu. Perjalanan lapan jam itu digunakan untuk menyiap peralatan memancingnya, manakala yang lain terlelap seketika dibuai ombak laut.


Geng SAT mensasarkan ikan bersaiz gred A seperti geropoh dan tenggiri yang terkenal dengan kekuatan memutuskan tali 50 paun hanya sekali henjutan saja.

Sebaik tiba di Tukun Perak, Yazid, Jalil Roti dan cikgu Man yang bersedia dengan joran aksi berat masing-masing bersedia menggunakan teknik ‘popper’ untuk menjerat geropoh, manakala yang lain menggunakan teknik dasar dan ‘jig’.

Belum pun sampai lima minit menghulurkan umpan, Yazid menerima sentapan pertama daripada geropoh yang menyerang umpan tiruan nya di permukaan air. Bunyi ‘pop’ yang dihasilkan umpan tiruan menarik perhatian gerepoh lalu menyambarnya.

Aksi perlawanan itu berlaku kira-kira 30 minit dengan jorannya melentur separa ‘U’ akibat menerima asakan seperti menarik seekor anak lembu masuk ke kandangnya.

Beliau yang tidak tahan asakan itu bergegas meminta bantuan daripada rakan-rakan lain untuk menangguk ‘mangsa’ naik ke bot. Geropoh seberat 12 kilogram dan terbesar pernah ditangkapnya. Aksi itu tidak terhenti begitu saja apabila Azhar, Asri dan Mawazi turut menaikkan ikan sama dengan teknik ‘jig’ secara serentak.

Pesta memancing geropoh berlangsung kira-kira sejam saja, apabila ikan ini berubah lubuk kerana mengejar ikan pelagik yang gemar bergerak dari satu tempat ke tempat lain di sekitar Pulau Tukun Perak.

Tekong Ah Sia yang menyedari perubahan itu, segera mengarahkan geng SAT menggunakan teknik mengilat berumpankan ikan pisang selepas melihat gerombolan ikan tenggiri menyerang ikan kecil di permukaan.

Teknik yang dicadangkan tekong itu ternyata tidak menghampakan, apabila tenggiri berpusu-pusu menyambar umpan yang dilabuhkan itu. Ketika itu, pemancing terlalu sibuk berpesta tenggiri yang dilihat seperti menyerah diri apabila umpan yang dilabuhkan itu menerima sentapan rakus dari ikan bergigi tajam ini.

Dalam kesibukan menaikkan ikan tenggiri, tekong Ah Sia akhirnya menyuruh geng ini mengemas peralatan masing-masing apabila melihat cuaca gelap yang menandakan ribut akan melanda pada bila-bila masa.

Trip ini akhirnya tamat apabila 12 geropoh dan 14 tenggiri berjaya dinaikkan.